Salam Nuzul Al-Quran

Wahai anakku,
Jika kamu terasa susah, ingatlah ada yang lebih susah daripada kamu.
Bilamana kamu berasa tidak gembira, ingatlah ada yang lebih sedih daripada kamu.

Jangan sesekali engkau berasa serba tidak cukup, kerana di dunia ini ada yang rasa serba tiada daripada kamu. Jangan terasa diri kesian kerana ada insan yang bergelar manusia yang keadaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila dibandingkan dengan kamu.

Wahai anakku,
Jika engkau ingin membanding, bandinglah dengan orang yang kurang daripada kamu, barulah mudah bagi kamu memahami erti bersyukur.

Salam Nurul Al-Quran. Senyum

Posted from WordPress for BlackBerry.

Advertisements

Kekalkan Persahabatan

Wahai anakku,
Jangan sesekali engkau mencari nahas dengan sahabat-sahabatmu dengan sikap suka membandingmu. Jika engkau sayang pada persahabatan dengan sahabatmu, jangan sesekali kamu menyoal ‘siapa yang berkorban lebih banyak untuk siapa.’

Jika engkau inginkan sahabatmu kekal sebagai sahabatmu, jangan sesekali kamu mengungkit perkara yang lepas-lepas tatkala kamu marah dan tersinggung untuk beberapa saat itu.

Untuk menjaga persahabatan, wahai anakku, elakkan dari menuduh dan berkata-kata buruk tatkala kamu diracun oleh mainan minda dan sangka buruk pada sahabatmu tanpa usul periksa.

Wahai anakku,
Untuk mudah menerima sahabatmu sepenuhnya, kamu ingatlah selalu pada waktu-waktu gembiramu bersamanya apabila berdepan dengan perbezaan pendapat.

Untuk pastikan hubungan itu berkekalan, jangan sesekali engkau memperbesarkan kesilapan sahabatmu dan memperkecilkan usaha sahabatmu. Jangan biarkan egomu merasakan diri betul dan sahabatmu sentiasa silap kerana kamu cuma seorang insan yang penuh dosa dan mudah berbuat silap.

Wahai anakku,
Untuk mengelakkan sengketa dengan sahabatmu, janganlah engkau terlalu fokus dengan perbezaan pendapat daripada persamaan pendapat bersamanya. Walaupun kamu lebih tua daripada sahabatmu, jangan sesekali merasakan diri engkau lebih pandai dan besar daripadanya ketika bersahabat. Engkau tidak tahu mungkin umur kamu lebih pendek daripada sahabatmu yang lebih muda daripada kamu.

Wahai anakku,
Aku sedar nasihat aku ini bukan mudah untuk dilaksanakan. Aku juga berdepan dengan masalah ini sepanjang hidupku, namun aku selalu mengingatkan diri sahabat adalah kurniaan Allah. Dan dengan itu, aku hargainya selagi dia ada. Bilamu berasa marah, cuba bayangkan besok hari terakhirmu di dunia ini, apakah berbaloi perkara yang kamu marahkan pada dia yang bergelar sahabat?

Jaga hati sahabatmu, wahai anakku, kerana pengkhianatan tidak mungkin datang daripada musuhmu.

Senyum.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Nasihat 4

Wahai anakku,
Jika mata dan minda engkau mampu melihat segalanya dalam bentuk dosa dan pahala, percayalah kamu tidak akan lagi membuat dosa dan hanya berusaha mendapatkan pahala. Dosa engkau sama seperti bentuknya pahala yang tidak mampu dilihat matamu dan tidak disedari mindamu tapi percayalah jiwamu mengetahuinya.

Wahai anakku,
Bila engkau berbuat perkara memberi pahala, hati kamu akan terasa berat pada mulanya akibat bisikan syaitan, tapi setelah kamu melakukannya, hati kamu berasa riang bersenyum kerana telah berjaya menumpaskan syaitan. Perasaan itu umpama engkau melihat sampai di tepi jalan, hati dan mindamu berbalah tidan henti antara mengutip dan tidak mengutip sampah tersebut, tapi selepas dikutip dan dibuang ke tong sampah, senyuman terpancar di wajahmu dari hati sanubarimu.

Wahai anakku,
Perasaan itu cukup berbeza ketika engkau membuat dosa. Hatimu akan terasa seronok yang amat sangat untuk sementara, tetapi kamu akan diselubungi rasa bersalah akhirnya. Ia umpama maksiat, seronok perasaannya ketika minda melayan bisikan syaitan dipandu nafsu bergelora ketika membuatnya, tapi tatkala nafsumu hilang, jiwa engkau akan diselubungi perasaan bersalah kerana gagal melawan nafsu.

Wahai anakku,
Ambillah peluang di bulan mulia untuk menguatkan diri kamu. Aku bimbang tatkala aku tiada satu hari nanti, kamu boleh menjaga dirimu walaupun tiada orang lagi untuk menegurmu.

Senyum.

Nasihat 3

Image

Wahai anakku,
Alangkah gembiranya aku jikalau kerajinan engkau menyemak status Facebook ditukar kepada menelaah Quran.

Alangkah gembiranya aku jikalau engkau boleh mengingati waktu tepat maghrib bukan kerana lapar tapi kerana takut terlewat sembahyang.

Wahai anakku,
Alangkah gembiranya aku jika azam engkau teruskan bangun awalmu bukan kerana sahur tapi kerana mengingati Allah dalam sembahyang subuh.

Alangkah gembiranya aku jika engkau teruskan amalan ini dalam kehidupan seharianmu bukan sekadar di bulan Ramadan sahaja.

Selamat berpuasa wahai anakku, dan jangan lupa senyumlah, kerana kamu adalah anak yang soleh.

Nasihat dari Ayahanda

Wahai anakku,
Kadangkala engkau terfikir – alangkah baiknya kalau Allah bagitahu keputusan awal apakah sesuatu yang kamu usahakan itu akan berjaya mahupun gagal. Engkau sering berbicara dengan hatimu sendiri berkata jikalau kamu mengetahui lebih awal bahawa kamu akan berjaya, sudah tentu kamu akan berusaha bersungguh-sungguh. Hatimu juga membisik bahawa jikalau Allah memberitahu lebih awal bahawa usahamu akan gagal, sudah tentu kamu tidak perlu membazirkan masa pada perkara yang akan gagal.

Namun, wahai anakku, sebenarnya tidak, sangat tidak dan amat tersasar pandanganmu itu. Percayalah kata aku – jikalau engkau tahu sesuatu keputusan itu lebih awal, samada berjaya atau gagal, kamu tetap tidak akan berusaha.

Wahai anakku,
Dengarlah nasihat orang tuamu ini. Jika engkau tahu Allah dah tentukan usaha engkau akan berjaya, percayalah kamu tidak akan melakukan apa-apa, kamu akan duduk sahaja menanti kejayaan yang dijanjikan datang.

Jika engkau tahu lebih awal Allah dah tentukan usahamu akan akan gagal, lagilah kamu tak akan berusaha kerana ia sudah pasti gagal. Oleh itu, anak kesayanganku, ada hikmahnya Allah tidak mahu kamu mengetahui masa depanmu sebelum masanya. Itu urusan Allah, jangan sesekali kamu mempertikaikannya. Allah inginkan engkau berusaha bersungguh-sungguh kerana dalam usaha kamu itu, banyak pengajaran yang Allah ingin salurkan padamu selain sebagai wadah bagi engkau mengumpul pahala dan mencari redha pada ketentuanNya.

Wahai anakku,
Belajarlah untuk bersangka baik selalu bahawa segala yang Allah tentukan ini adalah baik. Keputusan walaupun kamu tidak puas hati mahupun gembira, janganlah kamu cepat melatah dan terus buruk sangka pada Allah.

Wahai anakku,
Jangan sesekali kamu berputus asa. Jangan engkau terfikir untuk menyalahkan Allah. Fikirlah apakah usahamu masih tidak cukup? Fikirlah apakah kamu tercicir ibadahmu dalam usahamu untuk berjaya? Fikirlah apakah dosa yang kamu pikul terlampau berat dan nipis imanmu? Carilah hikmah di sebaliknya. Carilah pengajaran yang Allah sediakan bagimu kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kamu di dunia ini. Jangan biarkan mindamu menilai keputusan Allah, redha dan percaya padanya dan teruskan usaha.

Kamu tak gagal selagi kamu tak berputus asa. Percayalah kejayaanmu akan tiba bila waktunya selagi kamu tak berputus asa. Apabila cabaran meningkat, dan kamu terasa amat letih untuk bergerak ke depan, wahai anakku, ingatlah pesananku, hidup ini pendek saja dan pintu peluang sentiasa terbuka kepada mereka yang bersedia dan berusaha.

Senyum.

nasihat dari Ayahanda

Wahai anakku,
Ingatlah engkau bahawa berpuasa bukan pada makan dan minum sahaja, tapi keseluruhan anggota badan. Berpuasa adalah masa mengurangkan penghasilan air liur beracun yang mengeraskan hati kamu. Kerana di bulan ini, kamu dilatih mengawal diri menghindari daripada segala yang buruk.

Di bulan mulia ini, janganlah biarkah perkataan yang buruk keluar dari bibirmu dan lidahmu. Jangan sesekali kamu membiarkan matamu melihat perkara yang kotor. Jangan cuba engkau salahgunakan mindamu untuk memikirkan benda yang tak senonoh. Dan jauhilah telingamu daripada mendengar perbualan yang tidak membawa kebaikan.

Wahai anakku,
Berpuasa adalah peluang untuk kamu belajar mengerti apa itu kesabaran. Bulan ini juga adalah peluang untuk kamu meninggikan kesabaran. Sesungguhnya sabar itu separuh dari iman. Jangan sesekali kamu berbual kosong di bulan ini apatah lagi meninggikan suaramu pada perkara yang tidak disukaimu.

Bawalah Quran bersamamu. Bukalahnya tatkala kamu lapang. Aku nasihatkan ini supaya masa singkat sebulan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh engkau untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Wahai anakku,
Ambillah peluang di bulan mulia ini untuk bertaubat. Sesungguhnya bulan Ramadhan ini bulan terbaik untuk bertaubat. Ambillah kesempatan sebulan ini untuk memperkuatkan perisai dirimu daripada maksiat dan mengawal nafsumu. Kerana ketika berpuasa, mindamu akan sibuk menahan lapar dan dahaga sehingga tidak berupaya merayau tak tentu hala. Sesungguhnya ini adalah medan latihan terbaik buat kamu.

Wahai anakku,
Aku berkata semua ini supaya engkau dapat melihat betapa hebatnya cara Allah mendidik umatnya. Aku berharap melihat engkau sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah. Bacaan al-Quran engkau dah berapa juzuk dalam bulan Ramadhan ini? Sekadar aku bertanya sebagai peringatan. Senyum.