Alkisah dua beradik…

Alkisah dua beradik…

Satu masa dahulu, dua beradik, yang tinggal di dua kebun bersebelahan telah berbalah dan berkelahi.

Ia adalah satu pertelingkahan yang serius dalam tempoh 40 tahun untuk dua adik beradik petani berjiran ini, yang berkongsi tanah, peralatan, pekerja dan hasil untuk sekian lama.

Kerjasama utuh antara dua adik beradik akhirnya berkecai. Ia bermula daripada satu salah faham yang kecil sehingga menjadi satu masalah yang besar sehingga akhirnya pertukaran kata-kata melampau melukakan hati diikuti dengan perang dingin berminggu lamanya.

Satu hari, ada seorang datang mengetuk pintu abang. Lalu abang membuka pintu melihat seorang yang penuh dengan peralatan pembinaan.

“Saya sedang mencari kerja untuk beberapa hari,” kata Riduan. “Bolehkah abang beri berikan beberapa tugas kecil yang saya boleh bantu?”

“Ya,” jawab abang. “Saya ada kerja untuk saudara. Lihat parit besar itu di kebun belah sana. Dia jiran saya. Oh tidak, sebenarnya dia adik saya. Minggu lepas kami gaduh besar, dan dia ambil bulldozer mengorek dari sungai itu dan membina parit antara dua kebun kita. Adik saya telah melakukan ini untuk menunjukkan dia benci saya. Saya nak buat yang lebih baik untuk balas dendam.”

“Lihat balak kayu di belakang kebun saya. Saya nak saudara binakan satu pagar 8 kaki tinggi mengelilingi kebun saya supaya kebun dia tidak lagi kelihatan daripada pandangan saya buat selama-lamanya,” tambah abang lagi.

Riduan mengangguk. “Saya faham situasi abang. Berikan saya paku, mesin untuk mengorek lubang dan saya akan siapkan kerja yang abang suka.”

Abang itu terpaksa keluar bandar untuk satu minggu untuk mencari pelanggan baru. Setelah menyediakan semua badan mentah untuk Riduan – abang terus ke bandar.

Selama seminggu, Riduan bertungkus lumus menyiapkan kerja sebaik mungkin. Hampir seminggu, kerja yang dijanjikan hampir siap.

Abang kembali daripada bandar dengan harapan menyaksikan pagar 8 kaki telah terbina.

Setibanya di kebun, abang terkejut mulut ternganga dengan apa yang dibuat Riduan dan terus berasa marah dan bengis.

Tiada pagar 8 kaki, tapi satu jambatan melintasi parit yang dibina adiknya menyambung kedua-dua kebun bersama kembali.

Terjumpa Riduan, abang ingin membuka dan marah, “Apa awak buat…. “

Tetiba adiknya menyampuk. Rupa-rupanya adiknya telah datang ke kebun abang setelah jambatan itu siap.

“Tak sangka setelah kata-kata kesat dan melampau adik pada abang, abang masih bina jambatan menghubungkan dua kebun ini. Maafkan adik… Adik yang tersilap. Adik sayang abang,” kata adik kepada abang.

Kemarahan abang pada Riduan kini bertukar menjadi kagum dan terhutang budi.

Riduan mula mengumpulkan barangnya untuk beredar.

“Mana kamu nak pergi? Banyak lagi kerja untuk kamu!” kata abang.

“Saya nak tinggal, tapi terdapat lagi banyak jambatan yang sedang menunggu saya untuk membinanya,” kata Riduan.

“Mengapa saudara berani buat jambatan dan bukannya pagar seperti yang diminta?” tanya abang yang masih tidak memahami niat Riduan.

“Apa gunanya kehebatan ilmu membina ana jika ana gunakannya untuk galakkan permusuhan dan bukan persahabatan antara dua adik beradik yang hanya marah kerana tersilap kata?

Apa gunanya umur panjang kalau kita biarkan mereka yang dalam kebencian hidup dalam kebencian tanpa cuba membantu mereka?” jawab Riduan.

“Hidup ini singkat. Jangan bazirkan dengan membiarkan kebencian, kemungkaran, ketidak-adilan dan kezaliman berterusan. Bantu setakat boleh untuk Allah swt,” tambah beliau lagi.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk engkau mengerti perbezaan orang yang positif dengan yang negatif. Jika kamu seorang yang positif, kamu akan selalu berfikir untuk menyelesaikan masalah. Sebaliknya jika engkau seorang yang negatif, kamu akan selalu menimbulkan dan mencari masalah.

Wahai anakku,
Jika kamu seorang yang positif , kamu akan suka meringankan masalah sekiranya engkau seorang yang negatif, kamu suka merumitkan masalah. Jadilah seorang yang positif mengecilkan masalah yang besar, wahai anakku kesayanganku, daripada menjadi seorang ysng negatif membesarkan masalah yang kecil.

Senyum kerana Allah hendakkan kita terus berusaha untuk mencapai kemenangan.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Alkisah 2 biji benih…

Alkisah 2 biji benih…

2 biji benih di bawah tanah subur…

Benih 1: “Saya nak tumbuh. Saya nak tumbuh akar saya dalam ke dalam tanah mencari air, dan pucuk saya membesar membuka tanah di atas supaya mendapat sinar matahari dan memberitahu dunia musim bunga sudah tiba… Saya nak merasai kehangatan pancaran matahari dan embun pagi…”

Dengan azam demikian, benih 1 tumbuh dan berbuah…

Benih 2: “Kalau saya tumbuh akar ke dalam tanah, saya tak pasti apa yang saya akan temui dalam kegelapan. Jika saya tumbuh ke atas membuka tanah, ia mungkin merosakkan pucuk saya jika tanah keras… apa kata bila daun saya buka dan ada siput nak makan, apa yang saya boleh buat? Jika saya mula berbunga, ada budak kecil datang memetik bunga, apa saya nak buat… jadi elok, saya tunggu line clear dulu sebelum berbuat apa-apa.”

Benih 2 menunggu dan tidak tumbuh.

Tetiba satu hari, ada seekor ayam datang mencari makan, mengorek tanah yang di mana Benih 2 ditanam, dan terus menelan Benih 2 yang masih tertunggu-tunggu bila nak tumbuh.

Wahai anakku,
Kuatkan azammu dan mindamu ketika engkau sudah mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu. Bisikan syaitan akan cuba melemahkan semangatmu dan meniup api malasmu untuk menangguhkan kerjamu sekiranya engkau habiskan masa memikirkan perkara-perkara yang kamu tidak tahu.

Mulakan kerja yang diniatkan dahulu. Dapatkan momentum dahulu. Dengan adanya momentum wahai anakku, masalah yang datang mengunjung tidak lagi dilihat sebagai masalah. Sebaliknya mindamu akan menafsirnya sebagai cabaran yang seronok untuk diatasi. Itu lumrah kehidupan di dunia sementara ini.

Wahai anakku,
Jangan sesekalimu menjadi seperti Benih 2 yang aku ceritakan di atas. Jangan, kerana ia hanya membazir masa kamu. Percayalah pada Allah dan tumbuhlah seperti Benih 1, Allah akan tunjukkan jalannya selagi kamu tidak membiarkan jiwamu jauh daripada Tuhanmu.

Senyum

Posted from WordPress for BlackBerry.

Tazkirah Pagi

Kisah Duit Syiling dan Batu…!!!!!
Oleh Ustaz Zahazan Mohamed.

TINGG!!!…

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!!!…

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan di sekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya. Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.

Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu ,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

P/s : Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yg menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

SEBARKAN.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Alkisah sebuah kenangan…

Alkisah sebuah kenangan…

Semasa aku belajar mengayuh basikal, ayahku akan jogging bersama sambil memegang kepala basikalku bimbangku terjatuh. Masaku keretaku mati di tengah jalan di tengah malam, ayahku cepat-cepat datang membantu menolak dan membaiki keretaku dan membawaku pulang.

Ayahku seorang yang suka memberi nasihat. Ada satu nasihat terpenting yang aku ingat sehingga kini.

Keluargaku bukan kaya. Adik dan aku perlu bekerja sambilan untuk mendapatkan duit poket buat belanja di sekolah. Kita bekerja membersihkan rumput di rumah-rumah sekitar taman perumahan. Ayah aku pula tukang mencari bisnis untuk adik dan aku. Ayah berjalan meminta jiran-jiran di taman perumahan untuk mengambil adik dan aku untuk membersihkan rumput di rumah mereka dengan sedikit upah.

Satu hari, sudah menghampiri waktu Maghrib, adik dan aku masih membersihkan rumput di rumah jiran terdekat. Rumputnya tinggi sebab itu masa yang diambil lebih panjang. Dengan mesin memotong rumput yang tua, ia lebih menyusahkan kerja adik dan aku. Hari semakin senja dan gelap, adik dan aku cuba menyiapkan kerja dengan cepat.

Ketika aku menutup mesin, ayahku menjerit padaku, “Kerja buat elok-elok. Sana tepi ada lagi rumput yang masih panjang. Potong baik-baik.”

Adik dan aku merungut. “Apalah ayah ini. Hari dah gelap. Dah nak Maghrib. Dua tiga kerat rumput pun nak berkira. Bukannya makcik Ning nampak. Dahlah duit yang dibayar sedikit. Mengapa ayah tak nak lepaskan kita?”

Ayahku menegur lagi. Adik dan aku menghidupkan mesin semula dengan hati yang tidak rela lalu sekali lagi memotong rumput-rumput yang masih tinggi.

Kiniku sudah bekerja dan akhirnya aku memahami prinsip ayahku. Ketika memberikan servis, kerja kita menunjukkan akhlak kita. Orang menilai kita melalui kerja kita. Jika kita hendak dilihat sebagai seorang yang berintegriti, kita mesti memberikan kerja yang berkualiti. Rumput panjang yang tertinggal itu bermaksud kerja yang ditugaskan masih belum selesai.

Jiran-jiran lain menilai kerja adik dan aku melalui rumput yang rapi dipotong. Kita mendapat lebih banyak bisnes kerana sikap ayahku yang tidak bertolak-ansur pada adik dan aku dalam membuat kerja sambil lewa. Setiap rumput di rumah jiran yang kami potong ayahku pastikan ia dipotong semua dan rapi kemas.

Ayahku mendapat bisnis memotong rumput daripada seorang jiran. Hasil kerja baik adik dan aku menyebabkan aku mendapat bisnes-bisnes yang lain daripada jiran-jiran aku.

Inilah pengajaran yang ayahku ajar padaku yang sudah sebati di hatiku. Buatlah kerja secara professional. Jika kita telah berjanji untuk melaksanakan sesuatu kerja pada masa tertentu, kotakan kata-kata tersebut. Bagilah pelanggan kita menikmati servis yang kita harapkan daripada orang lain. Kerja kita menunjukkan keikhlasan, akhlak dan sikap kebertanggungjawaban di hati kita.

Kini ayahku sudah tiada namun ajarannya masih segar di mindaku.

Wahai anakku,
Aku tahu kadang-kala aku merungut panjang, tapi semuanya kerana aku bimbang kamu akan tersilap langkah sehingga membazirkan masa engkau yang sedikit ini di dunia ini. Mungkin rungutan aku engkau tidak menyukai mahupun susah memahaminya sekarang, tapi diharap dengan nukilan di atas ini engkau boleh memahami isi hati aku yang terkadang bertegas dengan kamu.

Senyum

Alkisah seorang pakcik tua dengan anaknya 25 tahun

Alkisah seorang pakcik tua dengan anaknya 25 tahun

Seorang pakcik tua sedang duduk bersama anaknya yang berumur 25 tahun di atas keretapi.

Ini bukan kali pertama mereka menduduki keretapi.

Keretapi bakal bergerak, semua penumpang mengambil tempat masing-masing.

Semasa keretapi itu mula bergerak, anak pakcik tersebut berasa tersungguh riang dan penuh perasaan ingin tahu melihat keluar tingkap…

Beliau meletakkan tangannya di luar tingkap untuk merasai udara melepasi tangannya. Anak berusia 25 tahun itu menoleh ke arah ayahnya – “Abon, Abon – lihat semua pokok bergerak ke belakang.”

Abonnya tersenyum, “Ya, anakku sayang, memang begitu. Menakjubkan kan?”

“YA ayah,” jerit anaknya dengan riang.

Duduk tepi anak-ayah ini adalah sepasang suami isteri berumur hampir 40an. Mereka mendengar segala perbualan antara anak-ayah ini. Mereka terasa pelik mengapa anak pakcik yang sudah besar ini berkelakuan seperti seorang kanak-kanak.

“Peliklah anak pakcik ini…” bisik mereka.

Kemudian, anak pakcik itu menjerit lagi, “ABON, ABON, hujan hujan. Air sedang menyentuh tangan saya… Abon tengok.”

Pakcik menjawab, “Ya memang begitu anakku” sambil tersenyum gembira.

Pasangan suami isteri itu tidak dapat bertahan lagi dengan gangguan suara kerana perangai anak pakcik tersebut yang dianggap mereka kurang siuman lalu memberikan cadangan….

“Pakcik, mengapa tak bawa anak ke hospital … untuk terima rawatan…”

Pakcik tua itu menoleh dan menjawab…

“Sudah. Kami dari hospital ini nak balik kampung… Maknya sedang menunggu kegembiraan kepulangan kami… Anak saya baru dapat melihat buat kali pertamanya hari ini dalam hidup dia dan dia bakal dapat melihat wajah maknya buat pertama kalinya….”

Pasangan suami isteri itu tersengam diam malu seribu bahasa….

Wahai anakku,
Engkau sudah tentu pernah merasai apa yang dirasakan oleh pasangan suami isteri di atas. Pernah tak kamu terfikir mengapa Allah membuat dua mata di depan, dan bukan satu di depan dan satu di belakang?

Hikmahnya, wahai anak kesayanganku, ialah apa yang dipandang mata manusia hanyalah sebahagian sahaja – tidak 360 darjah. Oleh itu, jangan sesekali engkau mengganggap apa yang dilihat di depan mata ialah segalanya. Kamu harus sedar ia hanya sebahagian sahaja. Sebahagian lagi engkau perlu menggunakan mata hati untuk melihatnya. Tapi bukan dengan menggunakan hatimu yang bersangka buruk tapi hatimu yang bersedia bersangka baik kepada apa yang dilihat.

Wahai anakku,
Jangan anggap engkau tahu segalanya walaupun perkara itu di depan mata kerana Allah kurniakan mata kamu dengan kemampuan melihat apa yang minda nak lihat. Jika minda engkau penuh dengan sangka buruk, maka mata kamu yang memandang akan fokus kepada perkara buruk dan begitu juga sebaliknya. Ingatlah pesanan aku, wahai anakku, sesuatu situasi ataupun pandangan mata engkau adalah neutral. Minda kamu yang menafsirnya baik dan buruk. Yang engkau dapat melihat tidak semestinya betul, yang kamu tak dapat lihat tak semestinya silap.

Wahai anakku,
Sekiranya engkau mendapati cerita aku ini bermanfaat, kongsilah dengan sahabat-sahabatmu. Sekurang-kurangnya engkau telah menjadi pembaca yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Senyum.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Alkisah sebuah rumah

Alkisah sebuah rumah

Petang itu kedengaran rungutan tangga sudah tidak terbendung lagi. Dia terus berleter.

“Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku. Seronok jadi atap. Tak pernah kena pijak. “

Mendengarkan kata kata tangga. Atap terus bersuara.

“Hoi tangga. Aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas. Tak kena hujan. Tak kena pijak.”

Mendengarkan kata atap, tiang terus bersuara.

“Mana kamu tahu? Aku dok tahan pikul atap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya. Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas. Tak kena pijak.”

Mendengar kata-kata tiang, lalu dinding menjawab.

“Akulah pelindung khazanah rumah ni. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya bahkan aku terpaksa jaga sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna,“ jawab dinding dan semua tersenyap.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk mengingatkan engkau bahawa setiap manusia mempunyai tugasnya sendiri. Kamu buatlah kerja yang diamanahkan padamu sebaiknya. Jangan sesekali engkau berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya dikurniakan penglihatan daripada segi zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya mungkin tidak seindah yang kamu lihat di minda. Jadilah diri sendiri, jangan cuba jadi orang lain. Senyum.

Posted from WordPress for BlackBerry.

alkisah sebuah mimpi….

Alkisah sebuah mimpi….

Pada suatu masa dahulu, seorang lelaki di dalam mimpinya, terlihat ada seekor singa dengan mengejarnya.

Lelaki tersebut lari ke arah sebatang pokok, memanjatnya lalu duduk di atas sebatang dahan. Dia melihat ke bawah melihat singa itu masih menunggunya.

Lelaki tersebut memandang ke tepi melihat dahan yang didudukinya yang tumbuh daripada pokok tersebut. Terdapat 2 ekor tikus, seekor hitam seekor putih yang sedang mengelilingi dan mengunyah dahan tersebut. Tidak lama dahan tersebut akan patah dan dia bersama dahan akan jatuh ke tanah.

Lelaki itu memandang ke bawah dengan penuh ketakutan dan terlihat ada seekor ular besar berwarna hitam telah datang dan duduk di bawahnya. Ular tersebut membuka mulut besarnya menunggu kejatuhan lelaki tersebut.

Lelaki tersebut melihat ke atas mencari samada ada dahan lain yang boleh dipegangnya.

Dia ternampak sebatang dahan dengan sarang lebah bermadu. Madu sedang menitis daripada sarang tersebut. Lelaki tersebut ingin merasai madu tersebut. Dia mengeluarkan lidah dan merasa titik-titik madu yang terjatuh daripada sarang lebah tersebut. Sedap bukan main. Dia ingin merasa lagi, dan merasa lagi sehingga dia alpa dalam kemanisan madu tersebut.

Dia terlupa yang dua ekor tikus sedang mengunyah dahan, singa di bawahnya dan ular besar hitam yang sedang membuka mulut menunggu kejatuhannya.

Dahan itu terputus… dia teringat segala bentuk bahaya dan tersedar daripada tidur…

Lelaki itu merasakan mimpi itu pelik dan berjumpa dengan ustaz untuk menafsir mimpi….

Ustaz tersebut berkata…

“Singa itu kematian… Ia mengejar anta dan ikut ke mana anta pergi.

Dua tikus, seekor putih dan seekor hitam, adalah siang dan malam. Mereka berpusing mengunyah dahan sama seperti masa anta di dunia ini semakin mendekati kematian.

Ular besar berwarna hitam itu ialah liang lahad anta. Ia berada di sana menunggu anta jatuh ke dalamnya.

Sarang lebah madu ialah dunia, madu tersebut ialah kemewahan di dunia ini. Anta seperti manusia lain ingin mencuba segala kemewahan di dunia ini dan ia adalah manis. Setiap kali, anta mencuba kemanisan tersebut, anta ingin mencuba lebih banyak lagi… dan banyak lagi sehingga anta alpa dan terlupa tentang masa, kematian dan liang lahad yang menanti…

Yang bermimpi dah faham, anta yang membaca dapat isi tersiratnya? Senyum.

Nurkilan : Tuan Ibrahim Tuan Man

Posted from WordPress for BlackBerry.