Sedarkah kita?

Wahai anakku,
Aku seringkali tertanya-tanya apakah yang biasa engkau minta bila berdoa. Aku sangat bimbang kamu biadap pada Tuhanmu. Apakah kamu terus meminta habuan dunia, tanpa kita memohon keampunan dari Allah terlebih dahulu?

Wahai anakku,
Kamu contohilah Rasulullah dan para sahabat bilamana mereka berdoa. Hal ini dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran: “Dan mereka tidaklah memohon melainkan mereka berkata Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa dosa kami, dan sikap melampaui kami dalam urusan kami, dan tetapkanlah pendirian kami (dalam agamamu), dan bantulah kami dalam mengalahkan golongan yang kafir.”

Engkau patut berasa malu bilamana kamu munajat dengan Allah, lalu engkau meminta nikmat dunia, memohon kekayaan, kesihatan, keselesaan hidup, kejayaan projek, dan lainnya TANPA TERLEBIH DAHULU engkau memohon keampunan dari dosa, memohon keberkatan dalam setiap usaha yang kamu lakukan.

Ingatlah wahai anak kesayanganku, tanpa rahmat dan keberkatan, segala nikmat akan bertukar menjadi bala bencana. Jangan kamu lupa kata-kata aku ini kerana aku sangat bimbang kekayaanmu bertukar menjadi kesombonganmu yang dibenci ramai dan dipandang hina oleh Allah, dan pengaruh pangkat yang dikecapimu bertukar menjadi kezaliman kepada orang di sisimu.

Wahai anakku,
Aku tersenyum gembira melihat kamu tersentuh dengan nukilan ini. Senyuman yang terpahat di wajahmu adalah pahala yang membawa ke syurga. Senyum.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Coretan Senja

Assalamualaikum WBT.

lama sudah aku tidak menulis catatanku di blog ni. Maklumlah busy skit. Sebelum terlambat izinkan aku ucapkan Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran kepada semua umat islam di seluruh dunia.

          Walaupun hari ini diistiharkan cuti aku ambil peluang untuk bekerja untuk menyiapkan kerja2 yang tertangguh. Lepas tu ak ke Shah Alam, sempat bersolat jumaat kat Masjid Seksyen 13 Shah Alam. fuhhh suasana di Masjid itu sgt menarik. maklumlah dengan Khutbah dari imam muda. sgt teruja la. tambahan pula dengan keadaan selesa dekat masjid dan dengan jemaah yang berseri-seri untuk datang ke Masjid menunaikan kewajiban membuatkan aku sgt2 teruja.

         Selepas Selesai Solaty Jumaat, aku terus beransur ke Bank Islam Putrajaya untuk tujuan pembayaran kereta. Tapi malangnya bateri phone aku xde plak, semua no akaun atau maklumat dalam tu. So terpaksa la aku menangguhkan pembayaran ke kemudian hari. Pada masa yang sama aku juga telah ke Kaunter TH untuk tujuan penyemakan sama ada akaun TH ak masih aktif.. alhamdulillah masih aktif dan mulai saat ini aku ingin membuat sedikit tabungan untuk tujuan aku menjadi tetamu Allah di bumi Penuh Barokah nnt. InsyaAllah

       Selesai sudah, aku terus beransur ke Masjid Besi Putrajaya untuk solat Asar dan untuk berbuka puasa dengan bekas Bos aku En Ahmed. Bila aku berada kat masjid besi tu sgtlah tenang hati aku sb suasana nya sgtlah menarik dan pada masa yang sama sempat aku luangkan masa untuk melihat persembahan Qasidah. Alhamdulillah< selesai sudah solat maghrib aku beratur untuk mendapatkan juadah berbuka tapi aku denganb bos aku sgt malang kerana makanan untuk berbuka sudah hbs, pengalaman yang aku x boleh lupakan kerana aku sgt gembira walaupun x boleh makan, makn bihun sup jer la. alahmdulillah

 

malam pulak balik sempat luangkan masa dengan jemaah masjid Al – Qayyum. Alhamdulillah. Syukur

 

Salam Nuzul Al-Quran

Wahai anakku,
Jika kamu terasa susah, ingatlah ada yang lebih susah daripada kamu.
Bilamana kamu berasa tidak gembira, ingatlah ada yang lebih sedih daripada kamu.

Jangan sesekali engkau berasa serba tidak cukup, kerana di dunia ini ada yang rasa serba tiada daripada kamu. Jangan terasa diri kesian kerana ada insan yang bergelar manusia yang keadaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila dibandingkan dengan kamu.

Wahai anakku,
Jika engkau ingin membanding, bandinglah dengan orang yang kurang daripada kamu, barulah mudah bagi kamu memahami erti bersyukur.

Salam Nurul Al-Quran. Senyum

Posted from WordPress for BlackBerry.

“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?”

“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.
Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan peringatan, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.
MASALAH INPUT

Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.
Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.

Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
MASALAH PROSES

Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.
Belajar tidak pernah habis.
Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.
Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.

Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.
Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?
21 jam!

Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.

Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.
Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.

Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?

Di tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansukhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Hindari perbuatan ini.

Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.
Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!
Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.
Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: setiap umatku masuk Syurga, kecuali yang tidak mahu. Mereka (para sahabat) bertanya: Siapa pula yang tidak mahu itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: siapa yang mendurhakai diriku, maka sesungguhnya dia itu yang tidak mahu (masuk Syurga) [HR al-Hakim]
Salam Ramadhan.

Posted from WordPress for BlackBerry.

Alkisah dua beradik…

Alkisah dua beradik…

Satu masa dahulu, dua beradik, yang tinggal di dua kebun bersebelahan telah berbalah dan berkelahi.

Ia adalah satu pertelingkahan yang serius dalam tempoh 40 tahun untuk dua adik beradik petani berjiran ini, yang berkongsi tanah, peralatan, pekerja dan hasil untuk sekian lama.

Kerjasama utuh antara dua adik beradik akhirnya berkecai. Ia bermula daripada satu salah faham yang kecil sehingga menjadi satu masalah yang besar sehingga akhirnya pertukaran kata-kata melampau melukakan hati diikuti dengan perang dingin berminggu lamanya.

Satu hari, ada seorang datang mengetuk pintu abang. Lalu abang membuka pintu melihat seorang yang penuh dengan peralatan pembinaan.

“Saya sedang mencari kerja untuk beberapa hari,” kata Riduan. “Bolehkah abang beri berikan beberapa tugas kecil yang saya boleh bantu?”

“Ya,” jawab abang. “Saya ada kerja untuk saudara. Lihat parit besar itu di kebun belah sana. Dia jiran saya. Oh tidak, sebenarnya dia adik saya. Minggu lepas kami gaduh besar, dan dia ambil bulldozer mengorek dari sungai itu dan membina parit antara dua kebun kita. Adik saya telah melakukan ini untuk menunjukkan dia benci saya. Saya nak buat yang lebih baik untuk balas dendam.”

“Lihat balak kayu di belakang kebun saya. Saya nak saudara binakan satu pagar 8 kaki tinggi mengelilingi kebun saya supaya kebun dia tidak lagi kelihatan daripada pandangan saya buat selama-lamanya,” tambah abang lagi.

Riduan mengangguk. “Saya faham situasi abang. Berikan saya paku, mesin untuk mengorek lubang dan saya akan siapkan kerja yang abang suka.”

Abang itu terpaksa keluar bandar untuk satu minggu untuk mencari pelanggan baru. Setelah menyediakan semua badan mentah untuk Riduan – abang terus ke bandar.

Selama seminggu, Riduan bertungkus lumus menyiapkan kerja sebaik mungkin. Hampir seminggu, kerja yang dijanjikan hampir siap.

Abang kembali daripada bandar dengan harapan menyaksikan pagar 8 kaki telah terbina.

Setibanya di kebun, abang terkejut mulut ternganga dengan apa yang dibuat Riduan dan terus berasa marah dan bengis.

Tiada pagar 8 kaki, tapi satu jambatan melintasi parit yang dibina adiknya menyambung kedua-dua kebun bersama kembali.

Terjumpa Riduan, abang ingin membuka dan marah, “Apa awak buat…. “

Tetiba adiknya menyampuk. Rupa-rupanya adiknya telah datang ke kebun abang setelah jambatan itu siap.

“Tak sangka setelah kata-kata kesat dan melampau adik pada abang, abang masih bina jambatan menghubungkan dua kebun ini. Maafkan adik… Adik yang tersilap. Adik sayang abang,” kata adik kepada abang.

Kemarahan abang pada Riduan kini bertukar menjadi kagum dan terhutang budi.

Riduan mula mengumpulkan barangnya untuk beredar.

“Mana kamu nak pergi? Banyak lagi kerja untuk kamu!” kata abang.

“Saya nak tinggal, tapi terdapat lagi banyak jambatan yang sedang menunggu saya untuk membinanya,” kata Riduan.

“Mengapa saudara berani buat jambatan dan bukannya pagar seperti yang diminta?” tanya abang yang masih tidak memahami niat Riduan.

“Apa gunanya kehebatan ilmu membina ana jika ana gunakannya untuk galakkan permusuhan dan bukan persahabatan antara dua adik beradik yang hanya marah kerana tersilap kata?

Apa gunanya umur panjang kalau kita biarkan mereka yang dalam kebencian hidup dalam kebencian tanpa cuba membantu mereka?” jawab Riduan.

“Hidup ini singkat. Jangan bazirkan dengan membiarkan kebencian, kemungkaran, ketidak-adilan dan kezaliman berterusan. Bantu setakat boleh untuk Allah swt,” tambah beliau lagi.

Wahai anakku,
Aku ceritakan ini untuk engkau mengerti perbezaan orang yang positif dengan yang negatif. Jika kamu seorang yang positif, kamu akan selalu berfikir untuk menyelesaikan masalah. Sebaliknya jika engkau seorang yang negatif, kamu akan selalu menimbulkan dan mencari masalah.

Wahai anakku,
Jika kamu seorang yang positif , kamu akan suka meringankan masalah sekiranya engkau seorang yang negatif, kamu suka merumitkan masalah. Jadilah seorang yang positif mengecilkan masalah yang besar, wahai anakku kesayanganku, daripada menjadi seorang ysng negatif membesarkan masalah yang kecil.

Senyum kerana Allah hendakkan kita terus berusaha untuk mencapai kemenangan.

Posted from WordPress for BlackBerry.